Friday, 10 August 2012

:: Soal Hati Kita ::

Tatkala senyum, dileteri, senyummu terlebih gula.
Tatkala masam, diumpat, wajahmu tidak ceria.
Tatkala ke media, dituduh, sengaja mencari pujian. Gila glamour. Hendak menunjuk cantik.
Tatkala di rumah, dituduh tersepit. Terkongkong. Tidak pedulikan keperluan masyarakat.
Payahnya melangkah sebagai manusia, jika ingin memenuhi kepuasan semua orang. Relatif dan pelbagai. Kata pepatah Arab, kepuasan manusia adalah matlamat yang mustahil boleh dicapai.
Dari dulu sampai sekarang sahabat sudi menjadikan diri tempat luahan untuk berbicara tentang soal perasaan dari hati ke hati. Dan dari situ diri memahami isu cinta ini evergreen. Sungguh saya tidak pernah bosan. Malah bukan hak saya untuk mendengar acuh tidak acuh setiap perkongsian daripada sahabat. Raikan ceritanya. Walaupun melihat kepada kisah hidup saya, saya bukanlah seorang yang layak untuk berbicara tentang cinta. Kerana saya masih belum cukup makan garam!
Ada kisah tersepit kerana cinta. Ada kisah keinginan mahu berubah terkadang terasa payah kerana cinta dulu datang mengundang. Ada kisah tangis disebabkan cinta. Ada kisah yang keliru dalam mengejar cinta. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah terus mendengar dengan hati terbuka. Don't ever easily judge them but help them till the end.
Terkadang ada sahabat yang mendesak diri ini supaya menceritakan soal hati kerana hanya dia sahaja yang berkongsi. Bukan saya tidak mahu tetapi tiada apa yang menarik tentang cinta untuk diberitahu. Rasa suka itu pasti ada tanda kenormalan hormon tetapi sekejap sahaja. Sukar meminati seseorang. Sukar jatuh cinta. Jadi, tiada cerita. Mungkin kerana masih meminati 'Barbie' dan melangut kepala menonton 'Totally Spies'? (Tak adalah. Saya gurau sahaja. He he.)
Prinsip. Tidak ada yang boleh mengambil tempat 'dia-yang-entah-di-mana' selagi belum ada ikatan sah. Prinsip. Tidak mahu dimabukkan dengan khayalan cinta yang tidak pasti. Prinsip. Jangan biarkan cinta yang tidak diundang meruntuhkan pendirian seorang muslimah dalam diri. Prinsip. Hidup ini bukan sekadar untuk diisi dengan kecintaan terhadap manusia. Prinsip. Katanya seorang da'ie, kau harus kuat untuk mendidik ummah jadi jangan mudah lemah kerana cinta!

No comments:

Post a Comment